Tun M minta Zeti disiasat

0
1
Tun Dr Mahathir Mohamad

PEMBABITAN bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu disiasat untuk menentukan kesahihannya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, isu itu timbul selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Masa saya jadi Perdana Menteri tiada masalah kerana ini berlaku selepas saya meletak jawatan di waktu Najib (Datuk Seri Najib Razak) jadi Perdana Menteri.

“Di waktu itu, tuduhan-tuduhan dibuat bahawa Zeti dan keluarganya terlibat dengan pengambilan duit 1MDB.

“Perkara seperti ini perlu disiasat supaya kita dapat tentukan benar atau tidak Zeti terlibat dengan perbuatan curang ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan berlaku kegagalan siasatan di pihak mereka berhubung isu dana 1MDB yang dikaitkan dengan Datuk Dr Tawfiq Ayman yang juga suami Zeti.

SPRM berkata, penyelarasan siasatan sudah diarahkan Pejabat Peguam Negara dengan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikoordinasikan menerusi tugas serta siasatan tertentu.

Agensi penguatkuasaan itu berkata, fokus siasatan SPRM adalah mengenal pasti dan mendapatkan semula dana terkait kes 1MDB termasuk sejumlah AS$15.4 juta (lebih RM60 juta) yang membabitkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Tawfiq.

Pada 27 November tahun lalu, Najib membuat laporan polis terhadap beberapa pihak yang didakwa sengaja menyembunyikan bukti material berkaitan transaksi wang berkaitan 1MDB dan SRC International (SRC) ketika pemerintahan kerajaan PH.

Najib mendakwa, beliau dan barisan peguamnya tidak mengetahui terdapat transaksi pemulangan dana RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura dan disimpan syarikat milik suami Zeti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here