IKRAR Aku Janji Antirasuah yang diwajibkan terhadap calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, membuktikan komitmen tinggi parti itu mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang bersih dan berintegriti.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata lebih membanggakan, PN menjadi satu-satunya parti yang mewajibkan calon-calonnya melaksanakan ikrar sedemikian.
“Seperti yang sudah banyak kali saya jelas dan tegaskan kerosakan akan melanda negara jika integriti tidak dijadikan pegangan pemimpin yang mentadbir kerajaan atau kerajaan negeri.
“Contohnya sudah berlaku di hadapan mata kita sekarang ini. Jenayah penyelewengan 1MDB dan SRC adalah antara contoh klasik bagaimana berbilion wang negara hilang begitu sahaja dan sebahagiannya masuk ke dalam akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Akibat perbuatan ini, kerajaan terpaksa membayar hutang keseluruhan berjumlah RM50 bilion sehingga tahun 2039,” katanya menerusi Facebook.
Muhyiddin berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 sebanyak RM21 bilion diperuntukkan untuk membayar hutang 1MDB dan wang ini adalah wang rakyat.
“Begitulah besar erti dan nilai integriti kepada kita semua kerana tanpa integriti negara dan masyarakat kita akan rosak.
“Kerana itu saya tidak jemu-jemu mengingatkan semua calon jika dipilih nanti jangan sesekali mengulangi apa yang pernah dilakukan segelintir pemimpin di peringkat persekutuan
“Sentiasalah menjunjung tinggi nilai integriti bagi memastikan amalan politik serta pentadbiran dilakukan dengan lebih bersih, berbanding parti-parti lain,” katanya.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri itu turut menyeru pengundi Johor agar menjadikan PRN kali ini sebagai permulaan pembentukan sebuah kerajaan yang berasaskan nilai integriti dan prihatin rakyat seperti yang ditawarkan PN.
“Anda adalah benteng utama untuk menyekat kemaraan semula kumpulan kleptokrat dan politik lama mereka yang berasaskan rasuah dan penyelewengan,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan seramai 56 calon PN yang akan bertanding pada PRN Johor 12 Mac ini selesai melafazkan Ikrar Aku Janji Antirasuah. – Malaysiapost

