GERGASI Jerman, Bayern Munich menang tipis 2-1 mengatasi Sevilla selepas masa tambahan dalam pertembungan dua juara Eropah untuk menentukan pemilik Piala Super UEFA, awal pagi tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Puskas Arena, Budapest itu, buat kali pertama ketika Covid-19, kejohanan Eropah membenarkan penyokong masuk ke stadium seramai 15,000 orang.
Pemain gantian, Javi Martinez menanduk masuk gol kemenangan The Bavarians pada minit ke-104 selepas pemenang Liga Europa, Sevilla mendahului pada minit ke-13 menerusi sepakan penalti Lucas Ocompas.
Ia kemudian disamakan oleh Leon Goretzka 10 minit sebelum rehat separuh masa.
Kemenangan skuad kendalian Hansi Flick itu melengkapkan kejuaraan Quadruple selepas memenangi Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara Eropah.

Dengan kemenangan tersebut, Bayern terus melebarkan rekod tanpa kalah kepada 32 perlawanan sejak Flick mengambil alih pasukan Novembar lalu dan kali terakhir mereka tewas adalah pada Disember 2019. – Malaysiapost

