Menyayangi warga emas sifat orang bertakwa

0
4
JAKIM

Hakikat fitrah bagi kejadian setiap insan akan melalui beberapa proses fasa kehidupan. Bermula dengan fasa bayi dalam kandungan, fasa selepas kelahiran, fasa kanak-kanak, fasa remaja dan dewasa, dan akhirnya fasa penuaan. Setiap fasa yang dilalui itu akan mengalami perubahan-perubahan dari aspek fizikal dan material, mental dan emosi, sosial serta spiritual. Perubahan fasa-fasa ini merupakan lumrah yang akan dilalui oleh setiap insan sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Nahl ayat 70:

“Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Dia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah dia (manusia itu) tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”

Dari perspektif Islam, usia emas bukanlah satu masalah atau bebanan sebaliknya ia merupakan satu proses normal dan ia perlu diuruskan sebaiknya agar matlamat akhir kehidupan ini untuk mendapatkan pengakhiran yang baik atau husnul khatimah tercapai.

Islam mengajar umatnya agar mengamalkan sikap saling menghormati dan menyantuni antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, pangkat ataupun keturunan. Sikap seperti ini perlu disemai sejak kecil, lebih-lebih lagi terhadap kedua ibu bapa. Asuhlah anak-anak kita untuk beradab dengan orang lain. Lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia hari ini, manusia semakin kehilangan adab dan moral dalam kehidupan mereka. Menghormati dan menyantuni ibu bapa adalah wajib kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Jika kita tidak berbuat baik terhadap keduanya, maka kita dikira melakukan dosa besar kerana melanggar perintah Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahqaf ayat 15:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”

Tuntutan berbuat baik ini juga bukanlah terhad kepada ibu bapa sendiri sahaja bahkan termasuk juga kepada orang yang lebih dewasa atau warga emas, sama ada mereka yang ada hubungan kekeluargaan ataupun tidak. Sesungguhnya warga emas juga mempunyai hak untuk mendapat kasih sayang dan penghormatan dengan menjaga hak-hak mereka.

Rasulullah SAW telah mengajar kita untuk berbuat baik kepada orang dewasa sebagaimana yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA ketika seorang tua datang kepada Nabi SAW, dan orang ramai melambatkan pergerakan untuk memberikan ruang kepadanya. Lalu Baginda SAW bersabda:

“Bukanlah daripada golongan kami barangsiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa.” (Hadis Riwayat Imam Al-Tirmidzi)

Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan kita melalui sebuah hadis:

“Sesiapa yang suka diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka hendaklah datang kematiannya dalam keadaan dia beriman dengan Allah dan Hari Akhirat. Dia juga memperlakukan manusia sebagaimana dia suka manusia perlakukan kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Warga emas bukanlah golongan yang boleh kita pandang enteng. Hakikatnya, golongan ini memiliki kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis:

“Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah ialah menghormati seorang muslim yang beruban (sudah tua), pembawa al-Quran yang tidak berlebihlebihan padanya (dengan melampaui batas) dan tidak menjauh (dari mengamalkan) alQuran tersebut, serta memuliakan pemerintah yang adil.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Justeru, bersempena dengan 1 Oktober yang telah diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia, saya ingin menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menzahirkan rasa hormat dan kasih sayang kita kepada golongan warga emas dengan menyantuni mereka sebaik mungkin. Menyayangi warga emas merupakan sifat orang bertakwa. Dalam pada kita menghadapi pandemik wabak Covid-19 ini, mudah-mudahan dengan tindakan kita menyayangi dan memuliakan warga emas ini menjadi asbab kepada diangkatnya ujian dan bala yang sedang menimpa kita.

Teks Khutbah 25 September 2020 Jakim