SPRM berusaha dapatkan kembali USD10 juta daripada CEO Astro

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses mengembalikan wang tunai dan aset dianggarkan bernilai USD10 juta membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki, berkata tindakan pembekuan aset atau wang tunai yang berkaitan juga telah dilakukan.

“Tindakan selanjutnya yang boleh saya kongsikan setakat ini adalah kami akan meneruskan usaha menyiasat dan untuk mengembalikan wang berkaitan kepada negara.

“Jumlah yang terbabit adalah dianggarkan USD10 juta,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Kes ini kita juga akan memanggil individu lain, namun buat masa ini saya tidak dapat mendedahkan nama-nama individu terlibat.

“Perkara-perkara lain dalam kes ini, adalah kerjasama antara agensi diperlukan untuk kita mendapatkan lagi beberapa keterangan daripada pihak Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM memanggil Rohana untuk memberi keterangan susulan pendedahan pegawai bank Goldman Sachs Group In, Tim Leissner pada prosiding perbicaraan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York baru-baru ini.

Dalam keterangannya Leissner mengakui mengadakan hubungan dengan Rohana dan pernah membelikannya rumah di London pada 2013, selepas dia diugut untuk dedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here