Pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ditangguh lagi

0
1

[Parlimen] USUL pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang dijadualkan hari ini sekali lagi ditangguhkan

Usul penangguhan tersebut dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mencadangkan usul yang berada di perkara nombor 1 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, ditangguh ke persidangan akan datang.

“Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 90 (2) dengan persetujuan Tuan Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Aturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan pemilihan timbalan speaker ke mesyuarat kedua yang akan datang,” katanya.

Usul itu kemudian dipersetujui secara sebulat suara oleh ahli dewan.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Azalina melepaskan jawatan tersebut, namun tetap menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara sepanjang tempoh persidangan berlangsung.

Dalam persidangan Dewan Rakyat 25 Oktober lalu, kerajaan turut menangguh pelantikan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu.

Usul penangguhan itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat.

Menurut Wan Junaidi, usul perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat yang lepas tetapi ditangguhkan bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang Timbalan Yang Dipertua daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here