SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebulat suara mendapati bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah hilang hak untuk membuat sebarang komen berkenaan kewujudan kartel dalam PDRM.
Dalam satu kenyataan bersama, EAIC merumuskan perkara tersebut lantaran Abdul Hamid tidak memberi sebarang bukti yang menyokong dakwaannya.
“Beliau juga tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu kartel ini dan mengakui dirinya selaku Ketua Polis Negara (KPN) tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana mana mesyuarat melibatkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman.
“Justeru, barisan Pesuruhjaya EAIC mendapati beliau selaku KPN tidak mengambil tindakan sewajarnya walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020 yang mana beliau mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media,” menurut EAIC.
Kenyataan EAIC itu dibuat oleh Pengerusinya Tan Sri Sidek Hassan; Timbalan Pengerusi Tan Sri Zainudin Ali dan lima Pesuruhjaya iaitu Tan Sri Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman KhairudinKhairudin, Datuk John Louis O’hara dab Prof Dr Nik Ahmad Jamal Nik Mahmod.
Barisan Pesuruhjaya EAIC itu mengulas mengenai kenyataan Abdul Bador baru-baru ini yang mengatakan siasatan EAIC mengenai isu kewujudan kartel dalam PDRM adalah ‘cetek dan tidak betul’.
Menurut EAIC, Abdul Hamid selaku KPN ketika itu sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media.
“Namun sebaliknya beliau tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan dan selaku KPN tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” katanya .
EAIC turut menegaskan bahawa bekas KPN itu enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu terbabit.
“Malah terdapat saksi dalam siasatan EAIC yang menyatakan bahawa kenyataan mengenai kewujudan kartel yang dibuat Abdul Hamid pada saat akhir sebelum kontrak beliau sebagai KPN tamat pada Mei 2021 menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan tersebut,” katanya. – Malaysiapost.

