GABUNGAN Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) menyokong tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menggunakan Bahasa Melayu bagi setiap urusan rasmi negara di peringkat antarabangsa.
Ketuanya, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, langkah itu meletakkan kedaulatan, kemuliaan dan kedudukan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
“Justeru, GAPENA amat mengharapkan para perwakilan rasmi Malaysia di peringkat antarabangsa khasnya pejabat Pesuruhjaya Tinggi dan Kedutaan serta Konsulat Malaysia di seluruh dunia dapat memainkan peranan yang amat proaktif menyebar-luaskan proses pengantarabangsaan bahasa Melayu.
“Termasuk Jabatan Atace Pendidikan juga perlu diberi peranan untuk mempertingkat penyebaran tersebut, disamping diwujudkan jawatan guru bahasa di jabatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, selain urusan rasmi di peringkat antarabangsa yang merupakan urusan yang berkala, kerajaan juga perlu mengutamakan lagi usaha berterusan yang berkesan untuk mengantarabangsakan Bahasa Melayu.
“Satu lagi tindakan segera dilakukan ialah menubuhkan Bahagian Bahasa Melayu Antarabangsa di Dewan Bahasa dan Pustaka yang berfungsi seperti British Council.
“Imej warganegara Malaysia yang sering berbahasa Inggeris apabila berinteraksi dengan warga asing. Ramai juga warganegara Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu walaupun ianya bahasa kebangsaan negara.
“Sehubungan itu, tindakan yang sewajarnya yang menuntut ketegasan dilakukan supaya semua warganegara Malaysia fasih berbahasa kebangsaan. Di negara sendiri bahasa Melayu didaulatkan di peringkat antarabangsa ianya dimuliakan,” katanya.
Pada Sabtu lalu, Ismail Sabri dalam lawatannya ke Thailand berkata, Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi termasuk pada mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan. – Malaysiapost

