Tiga kategori selesaikan isu beg sekolah berat – Dr Anuar

0
1
Persekolahan dibuka semula hari ini selepas ditutup pada 9 November 2020 menyaksikan murid pra sekolah, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Darjah 1 dan 2 di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri, Rawang. Menariknya seorang cikgu memakai maskot kucing bagi menghiburkan murid-murid yang hadir hari ini.

PENSYARAH di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Dr Anuar Ahmad  mencadangkan beberapa penyelesaian melibatkan tiga kategori bagi isu dihadapi pelajar berhubung beg sekolah berat.

Menurutnya, cadangan langkah penyelesaian itu dibuat selepas mengambil kira semua pandangan yang telah diberikan oleh masyarakat khususnya kalangan ibubapa dan guru-guru.

Beliau berkata, bagi jangka pendek, pihak sekolah dan ibu bapa boleh sediakan locker, rak, almari atau tong plastik di sekolah untuk murid tahap satu (tahun 1 hingga 3) menyimpan buku teks di dalam kelas atau di dalam bilik penyimpanan.

“Semua murid tahun satu wajib ditempatkan di kelas aras tanah bangunan sekolah untuk elakkan kesukaran memanjat dan mengelakkan mungkin terjatuh di tangga bangunan sekolah.

“Hadkan penggunaan buku modul, buku kerja dan buku latihan. Amalkan satu mata pelajaran satu buku latihan sahaja dan tegaskan pada ibu bapa untuk pastikan buku dibawa ke sekolah mengikut jadual waktu harian.

“Setiap guru memaklumkan murid-murid buku yang perlu dibawa untuk kelas akan datang dan sekolah rendah diberikan kuasa oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tentukan adakah buku teks perlu di bawa ke sekolah atau tidak,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi solusi jangka sederhana pula, KPM perlu lakukan semakan kurikulum sekolah rendah untuk mengurangkan bilangan mata pelajaran dan mengurangkan isi kandungan bagi setiap mata pelajaran.

“Kedua, hasilkan buku teks sekolah rendah dalam format berjilid mengikut penggal persekolahan. Ketiga, tingkatkan penggunaan e-buku teks bagi sekolah rendah yang mempunyai akses Internet.

“Keempat, guru menggunakan paparan LCD E-buku teks semasa PdP berjalan di dalam kelas untuk rujukan murid-murid,” katanya.

Beliau berkata, bagi solusi jangka panjang, pihak kerajaan dan KPM perlu membuat kajian untuk memansuhkan penggunaan buku teks di sekolah rendah dengan mengamalkan E-buku teks sepenuhnya secara online atau offline.

“Kukuhkan pembelajaran sekolah rendah berteraskan aktiviti yang dirancangkan sepenuhnya oleh guru. Oleh kerana tidak ada peperiksaan berpusat seperti UPSR, guru tidak lagi terikat dengan skema dan isi kandungan buku teks sahaja,” katanya.

Beliau berkata, isu beg sekolah berat telah berlanjutan sejak tahun 1980-an sehingga kini dan semakin mendapat perhatian ibu bapa serta masyarakat kebelakangan ini.

“Maka, sewajarnya cadangan yang baik untuk kesejahteraan murid-murid diberikan perhatian oleh KPM dan disusuli dengan tindakan penyelesaian dengan kadar yang segera. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here