SPRM beku aset Rohana

0
2

ASET dan akaun bank milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut laporan AstroAwani yang memetik sumber SPRM berkata, perintah pembekuan berkenaan dibuat selepas agensi berkenaan memulakan siasatan ke atas dakwaan pemilikan rumah oleh Tim Leissner yang dibeli menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tindakan pembekuan itu membabitkan larangan ke atas Rohana daripada melakukan sebarang transaksi melibatkan akaun bank miliknya di United Kingdom (UK).

“Pembekuan aset itu dibuat di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA 2001)

“Ia dibuat ketika pihak SPRM memulakan siasatan terhadap dakwaan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim (Leissner) yang mendakwa telah diugut untuk membelikan sebuah rumah bernilai AS$10 juta di London,” katanya.

SPRM, sebelum ini, dilapor mengambil keterangan Rohana pada Khamis lalu, dan siasatan dibuat berdasarkan Seksyen 4(1) AMLA 2001.

Ia susulan dakwaan yang Rohana dipercayai membayar harga sebuah rumah di London menggunakan separuh daripada jumlah wang yang didakwa diberikan oleh Leissner, sementara baki wang itu disimpan dalam sebuah akaun di UK.

Terdahulu, Rohana dalam kenyataan semalam, mengesahkan kehadirannya ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya kelamrin untuk memberi keterangan dan bersedia bekerjasama membantu siasatan.

“Saya merujuk kepada dakwaan pihak media terhadap saya.

“Saya telah hadir ke SPRM dan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan mereka,” katanya melalui pejabat peguamnya, Valen, Oh & Partners.

Dalam prosiding berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat, Leissner yang berkata dia merupakan bekas kekasih Rohana turut memetik beberapa nama lain.

Leissner turut mengakui membelikan bekas kekasihnya itu rumah pada 2013 selepas Rohana dakwanya mengancam mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terlibat dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here