Kenapa masih tiada tindakan terhadap Zeti, suami? – Wong Che

0
2

AHLI Parlimen Subang, Wong Chen mempersoalkan mengapa kerajaan masih belum mengambil tindakan terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya.

Persoalan itu timbul selepas bekas pengerusi Goldman Sachs, Tim Leissner menyentuh mengenai dakwaan rasuah melibatkan suami Zeti, Datuk Dr Tawfiq Ayman di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York, kelmarin.

Leissner mendedahkan perkara itu semasa memberi keterangan dalam perbicaraan jenayah membabitkan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng.

“Apa yang berlaku sekarang di New York dalam kes Roger Ng 1MDB amat menarik. Khususnya, saksi atau pengakuan Tim Leissner secara literal membuka banyak pendedahan.

“Beberapa bulan lalu, saya meminta kerajaan memberikan kemaskini status mengenai siasatan terhadap Zeti dan keluarganya. Sejak itu, tiada sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Kata Wong, Leissner memberi keterangan bahawa dia diberitahu sebanyak AS$1 bilion (RM4.2 bilion) dipindahkan dengan kelulusan BNM dengan pantas kerana suami Zeti menerima sogokan untuk menjayakannya.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kes 1MDB masih belum selesai kerana individu yang dikaitkan dengan skandal itu masih bebas.

“Saya ingin bertanya dua soalan dalam hantaran ini. Soalan pertama saya tujukan kepada kerajaan. Apa lagi bukti yang perlu dikeluarkan secara terbuka sebelum kerajaan sedia ada boleh mengambil tindakan terhadap Zeti?

“Yang kedua, ditujukan kepada semua rakyat Malaysia. Empat hari lalu, saya bercakap dengan seorang wartawan kanan dari UK. Dia berasa sangat bingung mengapa rakyat Malaysia begitu pemaaf dan mengapa kebanyakan kita tidak lagi berminat dengan kes 1MDB,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here