KEPIMPINAN Pakatan Harapan (PH) digesa agar membatalkan kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), sekiranya parti itu berhasrat bertembung di mana-mana kerusi yang ditandingi PH.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Damansara, Syed Badli Shah Syed Osman, berpendapat tindakan itu adalah wajar kerana Muda telah bersetuju bekerjasama dengan PH.
“Tatkala Muda bersetuju untuk menerima tawaran enam kerusi daripada PH bermaksud Muda telah bersedia untuk bekerjasama dengan PH sebagai sebuah blok kerana PH adalah sebuah blok gabungan parti-parti politik.
“Untuk rekod PKR juga telah menawarkan tiga kerusi kepada Muda namun Muda kelihatan tidak berminat untuk menerima tawaran tersebut.
“Muda tidak wajar untuk meletakkan calon di kerusi yang ditandingi rakan komponen PH kerana tindakan itu hanya akan memberikan kemenangan kepada pihak lawan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga bekas Naib Ketua AMK Pusat berkata, sekiranya Muda masih berhasrat untuk bertembung, maka jelaslah kehadiran Muda hanyalah sebagai agen perpecahan dan wajarlah PH menarik semula kerusi yang telah diberikan.
“Justeru itu saya ingin menasihati Muda untuk lebih rasional dalam membuat pertimbangan politik kerana setiap langkah bagi mendepani pilihanraya akan mengundang padah di kemudian hari,” katanya. – Malaysiapost

