Muda, nak kawan atau nak lawan? – MKM

0
1
https://twitter.com/syamil_luthfi

MAHASISWA Keadilan Malaysia (MKM) akan berbincang dengan pimpinan PKR untuk menilai kewajaran meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Pengerusinya, Syamil Luthfi, berkata tindakan meletakkan calon di kerusi berkenaan adalah sebagai tindak balas kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang meletakkan calon di kerusi ditandingi PKR.

Beliau turut menzahirkan rasa kecewa pengumuman dibuat Muda yang meletakkan calon bagi menentang calon PKR di DUN Larkin.

“Mungkin benar semangat ini mampu menyemarakkan demokrasi oleh semua pihak dalam membawa perubahan di negeri Johor.

“Walaubagaimanapun, ini bukanlah semangat kesetiakawanan yang baik dan seharusnya Muda menitikberatkan usahasama menghadapi musuh yang jelas lebih besar.

“Saya percaya tindakan Muda akan merugikan pihak pembangkang dan akan menguntungkan pihak lawan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Muda sebagai sebuah parti yang mempunyai hasrat yang sama seperti Pakatan Harapan (PH) perlu selari dengan agenda yang digariskan, bukan sebaliknya menentang PKR.

“Tindakan yang ditunjukkan Muda ini tidak selari dengan apa yang dicanangkan oleh pimpinan mereka iaitu untuk membawa politik yang matang dan bermaruah.

“Justeru itu, saya akan berbincang dengan pimpinan PKR untuk menilai kewajaran untuk meletakkan calon dari MKM di DUN Puteri Wangsa sebagai tindak balas,” katanya.

Beliau menegaskan, matlamat PH adalah reformasi institusi serta sosioekonomi negeri Johor khususnya dan Malaysia secara amnya untuk masa depan yang lebih cerah, dan perkara ini hanya boleh dicapai melalui permuafakatan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Twitter

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here