RTM rakan penyiar Liga Malaysia 2022

0
2

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) secara rasmi menjadi rakan penyiar bola sepak Liga Malaysia bagi musim 2022.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, berkata kementeriannya melalui RTM menyambut baik kesudian pihak Telekom Malaysia (TM), Unifi dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atas kerjasama berkenaan.

Katanya, kepercayaan dan usaha sama ini pastinya merupakan berita baik kepada seluruh rakyat dalam memberikan liputan bola sepak terbaik di Malaysia, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia dan merakyatkan sukan melalui bola sepak.

“Kerjasama yang dibentuk ini merupakan antara matlamat utama RTM dalam melaksanakan tanggungjawab sosial, selaku rakan penyiar bagi stesen tidak berbayar milik kerajaan.

“Ia dalam usaha memberi siaran percuma kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada mereka yang tidak memiliki akses siaran berbayar atau saluran pay per view,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keperluan RTM sebagai rakan penyiar bola sepak tempatan juga telah diberi perhatian secara umum bagi membolehkan setiap pasukan dalam Liga Malaysia mendapat liputan siaran langsung Liga Malaysia sepanjang musim 2022.

“Dengan pengumuman rasmi ini, semua penyokong di seluruh negara dijangka akan memperolehi manfaatnya.

“Justeru tiada sebab untuk mereka tidak dapat menonton siaran langsung memandangkan RTM menjanjikan siaran langsung perlawanan menerusi empat platform iaitu saluran TV1, TV Okey dan Sukan RTM,” katanya.

Annuar berkata, penonton juga boleh menyaksikannya di platform OTT, RTM Klik menjelang aksi Liga Malaysia 2022 yang akan bermula 26 Februari ini.

“Pertemuan antara juara liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur City FC kali ini menyaksikan format perlawanan kembali dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan tidak dikira sebahagian daripada perlawanan liga.

“RTM turut merancang untuk menyiarkan 44 perlawanan liga termasuk Liga Super yang bakal bersiaran mulai 4 Mac 2022, Piala FA dan Piala Malaysia, namun ianya tertakluk kepada sebarang perubahan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada TM, unifi dan MFL atas kepercayaan untuk terus bekerjasama dengan RTM dalam memastikan jutaan penonton, dapat menyaksikan pasukan pilihan mereka beraksi bertepatan dengan slogan ‘Sukan Terbaik Hanya di RTM’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here