PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dilihat terlalu ‘muda’ dalam kancah politik negara dan belum lagi ada tanda perjuangan yang boleh diukur oleh rakyat, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, penyertaan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor juga dilihat bukanlah cabaran kepada PN.
“Muda terlalu muda…Syed Saddiq (Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) itu macam anak saya. Dulu dia dalam Armada Bersatu. Tetapi tak apa itu hak dia (Syed Saddiq)…dalam sistem demokrasi, dia nak bentuk Muda ke tua, itu hak dia.
“Tetapi yang pasti dia (Muda) tiada ahli yang ramai, sedikit sahaja. Cawangan dan bahagian pun tak tahu dekat mana,” katanya kepada media di Kulai, Johor hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, Muda juga masih tidak berstruktur namun penyertaan parti itu bukanlah dipandang rendah.
“Tapi tidak mengapa, dia (Muda) berani…dia nak menawarkan muka baru bertanding, itu terserah kepada pengundi. Saya tak nak ‘underestimate’ (pandang rendah).
“Tapi pastinya parti ini baru, dia tak dilihat berkesan…belum lagi ada tanda-tanda perjuangan yang nak diukur oleh rakyat.
“Jadi terserah kepada pengundi untuk memikirkan sama ada mereka ini layak atau tidak,” katanya.
Muda dijangka bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.
Sementara itu, ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi PRN kali ini, Muhyiddin berpendapat walaupun terdapat sedikit kelonggaran berbanding PRN Melaka, ia masih tidak memadai.
“Agak ketat juga seperti ceramah boleh satu tempat…di bilik gerakan. Ceramah kalau di bilik gerakan takkan seluruh rakyat Johor nak datang situ. Contoh, di DUN Bukit Permai dan di (kampung) Felda ini sendiri jauh.
“Tidak praktikal bagi saya sedangkan majlis-majlis sosial dibenarkan, kenduri kahwin boleh, jadi apa bezanya…Kalau satu kawasan ada 30,000 pengundi macam mana nak berhubung dengan pengundi,” katanya.
Beliau berpendapat dengan sekatan itu, tempoh berkempen selama dua minggu tidak mencukupi untuk memperkenalkan calon mereka. – Malaysiapost

