KOLEJ Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur (KUPTM) mencatat sejarah baharu apabila diiktiraf sebagai universiti penuh.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KUPTM kini dikenali sebagai Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
“KUPTM sebelum ini dikenali sebagai Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) yang ditubuhkan pada 1987 dan kemudian dinaiktaraf kepada kolej universiti pada Oktober 2015.
“Selepas lima tahun, KUPTM layak untuk memohon kenaikan taraf kepada universiti penuh dan Alhamdulillah kita telah berjaya mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahdzir berkata, KUPTM telah membuat pembentangan permohonan naik taraf universiti penuh kepada KPT pada 1 Disember 2020.
“Kelulusan penubuhan universiti telah diterima daripada KPT pada 31 Mac 2021 dengan beberapa syarat sebelum pendaftaran taraf universiti penuh.
“Seterusnya pada 21 Februari 2022 , KPT bersetuju dengan memberi kelonggaran syarat pendaftaran pertama Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) sebagai Institusi Pendidikan Tinggi Swasta bertaraf universiti.
“Ini membolehkan nama UPTM digunakan secara rasmi dengan mematuhi syarat utama dalam tempoh lima tahun beroperasi sebagai universiti,” katanya.
Beliau berkata, tujuan penubuhan satu lagi universiti di bawah MARA adalah pelengkap eko sistem pendidikan tinggi MARA yang memfokus kepada kebitaraan perniagaan dan perakaunan.
“KUPTM juga aktif dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan inovasi diperingkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, sepanjang penubuhan sebagai kolej universiti, KUPTM telah menawarkan 14 program Ijazah Sarjana Muda, empat Program Sarjana dan dua program Ijazah Doktor Falsafah.
“KUPTM mempunyai 155 ketua penyelidik yang telah menghasilkan 111 projek penyelidikan serta menerbitkan 198 artikel ilmiah dalam pelbagai jurnal.
“Dengan penubuhan UPTM, sektor pendidikan tinggi negara diperlihatkan pada landasan betul dan dapat merealisasikan dan mendokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bagi Pendidikan Tinggi 2015 hingga 2025 seterusnya dapat membangunkan modal insan dan melahirkan graduan bertaraf global,” katanya. – Malaysiapost

