Aktivis pendidikan bantah sekolah ditutup lagi akibat Covid-19

0
1
Pelajar tingkatan 5 hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri sebagai permulaan sekolah hari ini. Pelajar calon peperiksaan utama 2020 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

PERTUBUHAN Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (MAGPIE) dan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) menyuarakan bantahan terhadap rancangan penutupan sekolah bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Kebimbangan disuarakan ketika kes harian Covid-19 melepasi angka 20,000 selama 12 hari berturut-turut sejak 11 Februari lalu akibat penularan varian Omicron.

Pengerusi MAGPIE, Mak Chee Kin, berkata mereka percaya terdapat cara lain untuk menangani masalah peningkatan kes jangkitan dalam kalangan kanak-kanak.

“Ibu bapa perlu mendengar nasihat pakar kesihatan dan dapatkan suntikan dos penggalak serta memastikan anak-anak juga diberi suntikan secepat mungkin,” katanya seperti dilapor FMT.

Beliau berkata, semua guru dan kakitangan sekolah yang lain harus menjalani ujian RTK-antigen seminggu sekali untuk mengekang penularan kluster sekolah.

Sementara itu, Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, cuti persekolahan akan datang mungkin boleh menghentikan kluster pendidikan.

“Cuti sekolah akan bermula dari 26 Februari hingga 20 Mac sebelum kalendar akademik baharu bermula. Oleh itu tiada keperluan untuk menutup sekolah,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilapor berkata minggu lalu bahawa terdapat peningkatan kes Covid-19 sebanyak 160 peratus membabitkan kanak-kanak sejak awal bulan ini.

Beliau mengaitkan peningkatan itu dengan pembukaan semula sekolah selepas cuti baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata kluster pendidikan naik mendadak apabila 92 kluster dilaporkan minggu lalu berbanding 61 seminggu sebelumnya.

Katanya, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) merekodkan sebanyak 367 kluster pendidikan dari 1 Januari hingga 19 Februari dengan 346 daripadanya masih aktif.

Sehubungan itu, Chee Kin berkata, adalah tidak praktikal untuk menutup sekolah sekali lagi kerana pelajar telah tertinggal pelajaran dan waktu bersosial dengan rakan sebaya selama dua tahun akibat penutupan sebelum ini.

“Biarpun kita bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak sekolah, kita perlu sedar bahawa virus itu akan terus berada dalam masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here