
[Sudut Pandang] MENELITI kenyataan-kenyataan media yang dibuat para pemimpin parti-parti politik yang bergabung bagi membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah diyakini bahawa Kerajaan PN sukar tumbang kerana rata-rata mereka masih menyatakan dokongan kuat kepada Kerajaan PN.
Paling utama adalah kenyataan media yang dibuat secara bersama oleh Tan Sri Annuar Musa selaku Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Setiausaha Agung Bersatu, Dato Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung PAS, Datuk Alexander Nanta Linggi selaku Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Jahid Jahim selaku Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Guan Dee Bin Kohoi selaku Setiausaha Agung STAR yang menegaskan betapa “semua parti yang bekerjasama dalam Kerajaan PN hari ini kekal berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin”.
Begitu juga kenyataan media yang dibuat Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS yang menyebut mengenai betapa “PAS mempertegaskan sokongan sepenuhnya 18 Ahli Parlimen PAS kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, yang masih sah di sisi Perlembagaan Malaysia”.
Samalah juga dengan kenyataan media yang dibuat oleh Datuk Alexander Nanta Linggi selaku Setiausaha Agung GPS dan PBB yang menyebut mengenai betapa “GPS masih kekal memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin”.
Penafian Setiausaha Agung GPS ini khususnya adalah amat kritikal kerana Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menyebut kepada Malaysiakini lewat malam tadi bahawa gambaran yang diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah GPS menyokong beliau (Ayat yang digunakan oleh Lim Guan Eng ialah “Datuk Seri Anwar Ibrahim gave the impression that he had GPS supporting him to have a comfortable majority. With GPS it should be at least 120 MPs.”).
Guan Eng juga berkata, DAP menjangkakan bahawa pihak yang menyokong Anwar adalah GPS tetapi bila sokongan ini diperolehi daripada pihak lain, bukannya GPS, maka ia adalah sesuatu yang tidak dijangkakan (Ayat yang digunakan oleh Lim Guan Eng ialah “We expected it to be GPS. When (people) talked about other parties, it was something unexpected.”).
Lim Guan Eng juga berkata, komunikasi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah teruk dan dibuat hampir jam 12 tengahari menyebabkan sidang media itu sedikit lewat kerana beliau sedang berkempen di Sandakan yang menghadapi masalah telekomunikasi di mana mereka tidak mampu bercakap panjang kerana “line” teruk.
Lim Guan Eng juga berkata, mereka tidak boleh bercakap mengenai perkara sensitif begini melalui telefon dan beliau akan membincangkannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah beliau balik ke Semenanjung Malaysia (Ayat yang digunakan oleh Lim Guan Eng ialah “We cannot be talking about this sensitive thing over the phone. I think we should go back and discuss with him.”).
Begitupun, di dalam kesemua kenyataan media ini, terdapat satu kenyataan media yang agak memeranjatkan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden Umno (yang telah dipastikan kesahihannya) yang berbunyi:
“Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen (Umno dan BN) yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi” dan
“Saya dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan (terhadap YB Datuk Seri Anwar Ibrahim). Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan.”
Sekarang ini pastilah semua pihak mahu tahu siapakah Ahli-Ahli Parlimen Umno dan BN yang sebelum ini telah bersumpah setia untuk tidak sesekali bersekongkol dengan para pemimpin DAP demi kuasa tetapi yang kini dikatakan telah menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus bersekongkol dengan para pemimpin DAP demi kuasa.
Dan sekarang ini juga pastilah semua pihak mahu tahu, jika benar ramai Ahli Parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan terhadap YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, apakah para pemimpin DAP yang sebelum ini telah berikrar untuk tidak sesekali bekerjasama dengan para pemimpin Umno kini boleh menerima Ahli-Ahli Parlimen Umno ini.
Ini kerana, selain daripada ketentuan Ilahi, di tangan Ahli-Ahli Parlimen Umno serta di tangan para pemimpin DAP inilah kelangsungan Kerajaan PN sekarang bergantung. -Malaysiapost
Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Penulis adalah Pensyarah Kanan COLGIS, Universiti Utara Malaysia (UUM).
(Artikel ini adalah pandangan penulis dan disiarkan tanpa suntingan)
