Covid-19: Warga asing perlu bayar caj penuh kuarantin

0
2

Nurul Huda Abhar

SEMUA warga asing yang masuk daripada pintu antarabangsa negara wajib membayar caj penuh kuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, bermula hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata kerajaan sebelum ini telah memutuskan bahawa caj kuarantin bagi semua individu yang memasuki pintu masuk negara adalah di bawah tanggungan sendiri.

“Arahan ini telah dimulakan dengan pungutan caj kepada anak kapal (seafarers) bukan warganegara sahaja.

“Bermula hari ini, 24 September 2020, semua individu bukan warganegara yang masuk daripada semua pintu masuk antarabangsa negara perlu membayar caj penuh ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail, bagi warganegara Malaysia, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi kos kuarantin, sebanyak RM2,100 seperti diputuskan dan dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, bagi kos pengoperasian pula sebanyak RM2,600 adalah kekal ditanggung oleh kerajaan.

Sementara itu, bukan warganegara perlu membayar caj penuh tanpa subsidi kerajaan pada kadar RM4,700 (RM2,600 caj tetap pengoperasian dan RM2,100 kos penginapan).

“Bagi individu kedua dan ketiga yang berkongsi bilik dengan individu pertama, kos penginapan adalah separuh iaitu RM700, manaka bagi anak yang berumur di bawah enam tahun kos penginapan adalah percuma,” katanya.

Sehingga semalam, katanya, sebanyak 137 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambahnya, daripada jumlah itu, seramai 111 individu telah dikompaun, 25 direman dan seorang dijamin.

Kesalahan berhibur di pub dan kelab malam adalah penyumbang tertinggi yang direkodkan semalam iaitu sebanyak 39 kes. -Malaysiapost