PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin mendapat lampu hijau dari Dewan Atasan Parlimennya untuk mengerahkan pasukan tentera ke dua wilayah dikuasai pemisah di timur Ukraine, sebagai misi ‘menjaga keamanan’.
Memetik laporan portal Chanel News Asia, Ahli Parlimen Dewan Atasan mengundi sebulat suara menyokong selepas Putin meminta kebenaran untuk mengerahkan tentera ke luar negara.
Langkah itu dibuat selepas Moscow mengiktiraf kemerdekaan wilayah Ukraine pada Isnin lalu, yang mencetuskan kecaman dan sekatan antarabangsa.
Menurut Ahli Parlimen Kanan, Andrei Klishas kepada dewan bahawa keputusan mengerahkan tentera ke dua wilayah itu berkuat kuasa serta-merta.
“Dengan meluluskan penggunaan angkatan bersenjata di luar negara, kami menganggap mereka akan menjadi pasukan pengaman – pasukan yang ditubuhkan untuk mengekal keamanan dan kestabilan di republik (yang mengisytiharkan diri sendiri di timur Ukraine),” Valentina Matvienko, Speaker Dewan Atasan, berkata sebelum pengundian.
Semasa penggubal undang-undang bertemu untuk membincangkan idea itu, Putin telah meratifikasi perjanjian persahabatan dengan dua republik pecahan Ukraine yang disokong Moscow.
Langkah itu membolehkan Rusia membina pangkalan tentera di kawasan itu, mengerahkan tentera, bersetuju pendirian pertahanan bersama dan mengetatkan integrasi ekonomi.
Tindakan itu dibuat ketika krisis mengenai tumpuan tentera Rusia yang besar berhampiran Ukraine yang telah mencetuskan kebimbangan pencerobohan, yang dinafikan oleh Moscow. – Malaysiapost

