‘Cukuplah kerajaan pengumuman’ – Ronald

0
3

NAIB Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengingatkan rakyat Sabah agar ‘menegakkkan’ kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Ronald yang juga Ketua Bahagian Bersatu Beluran berkata, kerajaan baharu yang seiring dengan Persekutuan perlu dibentuk pada PRN ini kerana masih banyak kawasan luar bandar memerlukan sentuhan mereka.

Katanya, peruntukan RM10 bilion menerusi program Kita Prihatin diumumkan kerajaan Persekutuan semalam, menunjukkan komitmen membantu rakyat khususnya mengurangkan kesengsaraan akibat Covid-19 dan demi pertumbuhan ekonomi.

“Cukuplah kerajaan Warisan (Parti Warisan Sabah), kerajaan pengumuman.

“Masa kempen dia pergi tempat kita, bikin (buat) itu ini, tiada pun bikin.

“Kelmarin pergi sini mahu bikin (selesaikan) masalah air dan sebagainya, pengumuman lagi,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri di Pekan Beluran hari ini.

Ahli Parlimen Beluran itu juga berkongsi detik paling sukar dilaluinya adalah ketika berada dalam Pakatan Harapan (PH) antara Mei 2018 hingga Februari 2019.

Katanya, ketika itu beliau tidak dapat berbuat apa-apa untuk rakyat di kawasan berkenaan sehinggalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk.

“Kita mesti keluar daripada kesusahan ini dan meletakkan kerajaan negeri supaya seiring dengan Persekutuan.

“Rakyat Beluran adalah penyokong kerajaan. Pilihan raya umum lalu Parlimen Beluran menang calon kerajaan, (Dewan Undangan Negeri) Sugut kerajaan, Labuk kerajaan,” katanya. – Malaysiapost