POLIS masih meneruskan siasatan terhadap kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang melanggar perintah kuarantin wajib selepas pulang dari Turki, Julai lalu.
Bukit Aman memaklumkan, ia selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi arahan lanjut kepada polis mengenai kes berkenaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan.
“(Kertas siasatan) telah dikembalikan kepada polis dengan beberapa arahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Sementara itu, Mior juga mengesahkan bahawa antara arahan yang diberikan AGC kepada polis adalah untuk merakam kenyataan dari beberapa orang lagi.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan perincian mengenai arahan lain dari AGC.
Terdahulu, Khairuddin mengundang kecaman ramai pihak atas pelanggaran kuarantin itu, termasuk didesak supaya meletak jawatan. -Malaysiapost

