SETELAH hampir dua tahun turun naik mahkamah, akhirnya balu Allahyarham Abam iaitu Nor Hidayah Mohd Ali menang dalam kes saman fitnah difailkan terhadap adik iparnya, Ali Puteh.
Keputusan itu diumumkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan, hari ini.
Sehubungan itu Ali Puteh atau Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 33, diperintahkan membayar ganti rugi kepada Nor Hidayah sebanyak RM60,000.
Menurut peguam Mohamed Ibrahim Mohamad yang mewakili Nor Hidayah, pada prosiding itu juga hakim membuat keputusan menolak tuntutan dibuat keluarga Allahyarham Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan dengan kos.
“Manakala tuntutan kami (Nor Hidayah) terhadap Ali Puteh dibenarkan dengan kos. Kami percaya keputusan ini membersihkan segala kata-kata negatif yang dilemparkan kepada anak guam kami.
“Sebelum ni dikatakan ada pihak telah dianiaya oleh anak guam, namun mahkamah jelaskan tidak berlaku sebarang penganiayaan sebaliknya anak guam kami yang dianiya,” katanya kepada media di pekarangan mahkamah.
Terdahulu, Ali mula berdepan kecaman sejak kemelut membabitkan dia dan kakak iparnya, Nor Hidayah sehingga memaksanya membawa kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Kontroversi mula tercetus apabila Nor Hidayah memfailkan saman terhadapnya sekeluarga dengan jumlah terkumpul mencecah RM900,000.
Saman dikemukakan Nor Hidayah itu antaranya menuduh Ali mengambil harta Abam Bocey dan harta anak yatim.
Antara tuduhan lain yang difailkan terhadapnya dan keluarga adalah tuntutan faraid, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan kereta dan sebagainya.
Pada 27 Ogos 2020, Ali memfailkan saman terhadap Nor Hidayah dan jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman. – Malaysiapost

