PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan cadangan mengenai pembukaan semula sempadan dibuat hasil persetujuan bersama dan bukannya keputusan sendiri.
Bekas Perdana Menteri itu, berkata cadangan tersebut telah dipersetujui secara bersama oleh ahli-ahli majlis berkenaan dalam mesyuarat MPN yang dipengerusikannya, baru-baru ini.
Muhyiddin berkata, pembukaan sempadan itu amat penting bagi merancakkan kembali ekonomi negara terutamanya sektor perniagaan dan pelancongan.
Justeru, beliau berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan majlis itu untuk membuka semula sempadan negara seawal 1 Mac ini.
“’Please’ (tolong) PM (perdana menteri), MPN sudah cadang dan saya bukan buat keputusan pandai-pandai. Dalam mesyuarat ada Menteri Kesihatan, (ditanya) kena kuarantin wajib, beliau kata tak payah, ada Jabatan Imigresen, (ditanya) bila boleh buka, boleh buka 1 Mac.
“Maka, kita buat keputusan atas nama MPN supaya kerajaan boleh ambil tindakan segera buka sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Resepsi Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional di Pontian, malam tadi.
Turut hadir, Presiden GERAKAN yang Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sebekum ini, MPN mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini, namun cadangan itu belum dibincangkan di peringkat Kabinet.
Semalam, Mohamed Azmin berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka mengemukakan cadangan mengenai pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat, sebelum memutuskan tarikh pembukaannya. – Malaysiapost

