SEORANG lelaki yang melecur 96 peratus selepas bertindak membakar diri dan keretanya dalam satu kejadian di Kampung Syed Omar, Bintong, Perlis, semalam dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew memaklumkan lelaki itu meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Beliau berkata, polis menerima makluman tentang keadaan terkini lelaki berusia 28 tahun itu pada hari sama.
Bagaimanapun, katanya, maklumat tentang waktu kematian mangsa tidak diberitahu kepada polis.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki yang kecewa dengan teman wanitanya yang mempunyai kekasih baharu dipercayai bertindak membakar diri dan keretanya dalam satu kejadian di Kampung Syed Omar, Bintong, malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, mangsa yang berusia 28 tahun itu juga dilaporkan melecur 96 peratus pada bahagian badannya.
Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di atas jambatan Kampung Syed Omar dan mangsa merupakan seorang pemilik kedai aksesori kenderaan.
Mangsa juga merupakan seorang pesakit luar Jabatan Psikiatri HTF dan mempunyai rekod beberapa kali cubaan membunuh diri termasuk mengelar tangan pada Januari lalu dan meminum racun tikus sehari sebelum kejadian. – Malaysiapost

