77.5% pesakit Covid-19 belum terima dos penggalak, tiada vaksinasi

0
1
https://www.facebook.com/photo/?fbid=489731622523466&set=pb.100044598962055.-2207520000..

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 77.5 peratus pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima belum menerima dos penggalak atau langsung tidak divaksinasi. 

Perkara itu disahkan Menterinya, Khairy Jamaluddin yang berkata, peratusan itu direkod setakat 16 Februari ini. 

“Dos penggalak adalah sangat penting untuk mengurangkan gejala serius Covid-19 dalam gelombang Omicron ini.

“Dos penggalak atau vaksin tidak bermakna kita tidak boleh dijangkiti virus Covid-19, tetapi,berdasarkan data ini, dos penggalak membantu mencegah gejala serius covid-19 ketika gelombang Omicron,” katanya pada sidang media, hari ini. 

Sehubungan itu, Khairy menegaskan, pihaknya akan berusaha memastikan sekurang-kurangnya populasi dewasa di Malaysia mencapai 70 peratus menerima dos penggalak. 

“Sekarang ini bukan hadapi masalah bekalan, logistik, tetapi kekurangan orang menerima dos penggalak di PPV yang boleh datang secara walk-in di seluruh negara. 

“KKM akan berusaha untuk meningkatkan peratusan ini kepada tahap yang kita rasa selesa atau sekurang-kurangnya mencapai 70 peratus populasi dewasa menerima dos penggalak. Ketika ini ianya belum mencapai 60 peratus,” katanya. 

Pada masa sama, Khairy menjelaskan, peningkatan peratusan pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di hospital. 

“Bila jumlah kes meningkat, pastinya ada sedikit peningkatan pesakit yang dirawat di hospital. 

“Saya nak beritahu, hospital kini bukan sahaja merawat pesakit kategori 3,4 dan 5 sahaja, tetapi menerima juga pesakit kategori 1 dan 2.

“Kategori 1 dan 2 yang ada komobid, berumur lebih 60 tahun, uzur kita masukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan rapi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here