Pelan Hala Tuju Robotik Negara, elak bergantung tenaga buruh asing – PM 

0
1

MESYUARAT Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) hari ini memutuskan untuk membangunkan Pelan Hala Tuju Robotik Negara (National Robotics Roadmap atau NRR) dalam mengarusperdanakan penggunaan teknologi robotik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelan berkenaan mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing seterusnya meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara. 

Katanya, kepadatan robot di Malaysia bagi setiap 10,000 pekerja pada 2019 adalah 55 unit dan sasarannya adalah 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2030.   

Selain itu, beliau berkata, bagi menyokong konsep Projek Pemangkin (Catalytic Projects) dalam memacu Aspirasi MyDIGITAL, mesyuarat juga bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek yang sesuai dan memantau pelaksanaan yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta (public-private partnership).

Menurutnya, projek Pemangkin akan dibiayai oleh sektor swasta dan Kerajaan akan memainkan peranan sebagai pemudahcara. 

“Antara contoh projek pemangkin adalah perubatan pintar menyasarkan penubuhan hospital yang menggunakan teknologi 5G bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat. 

“Dan bandar Pintar menyasarkan pelbagai kes kegunaan (use cases) berguna bagi memastikan kelestarian kehidupan yang lebih bermakna,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan MED4IRN yang diadakan buat kali pertama 2022, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat turut mengambil maklum tentang kemajuan dan pencapaian beberapa inisiatif.

“Melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 1.89 juta premis baharu yang diliputi dengan capaian gentian optik dan sebanyak 1,189 menara 4G baharu telah dibina dari September 2020 sehingga Disember 2021. 

“Di bawah Fasa 1, sebanyak 6.85 juta premis diliputi dengan capaian gentian optik dan liputan 4G di kawasan berpenduduk mencatatkan 95 in peratus setakat 31 Disember 2021. 

“Manakala Digital Nasional Berhad (DNB) juga telah memulakan akses kepada rangkaian borong 5G di mana sebanyak 500 tapak 5G telah diaktifkan setakat 31 Disember 2021 di WP Putrajaya, Cyberjaya dan WP Kuala Lumpur. DNB juga menyasarkan 3,500 tapak (bersamaan 36 peratus liputan di kawasan berpenduduk) pada penghujung tahun 2022,” katanya.

Perdana Menteri berkata, melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) pula, sebanyak 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sedang beroperasi.

“Manakala 28 lagi akan beroperasi menjelang 31 Mac 2022 di seluruh Malaysia. 

“Inisiatif ini menyediakan akses internet kolektif serta program keusahawanan kepada masyarakat setempat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here