Malaysia komited main peranan bantu Afghanistan

0
2

MALAYSIA akan terus memainkan peranannya dalam membantu membangunkan Afghanistan.

Perkara itu menjadi perbincangan utama dalam pertemuan Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan Duta Qatar ke Malaysia, Fahad Mohd Y Kafoud, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook, Abdul Hadi yang juga Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah, berkongsi pertemuan serampang dua mata dengan Fahad yang membincang peranan kedua-dua negara dalam membangunkan sektor pendidikan, kemanusiaan dan ekonomi di Afghanistan.

“Pertemuan tersebut berkisar hasil dari susulan lawatan kerja YB Tan Sri ke Qatar bagi membincangkan peranan yang perlu diambil oleh Malaysia dalam usaha membantu membangunkan Afghanistan terutamanya dalam bidang pendidikan, kemanusiaan dan ekonomi.

“Insya-Allah tindakan susulan akan diambil oleh pemegang-pemegang taruh bagi menjayakan usaha murni ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi hari ini menerima kunjungan hormat Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr. Moheb Rahman Spingar di Putrajaya.

“Usaha untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara diteruskan dengan bantuan kemanusiaan dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen.

Pertemuan sempena lawatan kerja ke Qatar tersebut memberi fokus utama kepada menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan.

Pertemuan itu menimbulkan pertikaian pihak tertentu termasuk Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Salahuddin Ayub apabila mendakwa Abdul Hadi mendahului Kabinet atau Perdana Menteri mengiktiraf pimpinan Taliban di Afghanistan secara terburu-buru, gopoh dan di luar bidang kuasa diberikan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here