SERAMAI 336,848 atau 11.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia setakat 7 Februari lalu adalah membabitkan warga emas.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 bagi tempoh sama iaitu seramai 32,034 kematian, 19,646 atau 61.3 peratus adalah melibatkan warga emas.
“Lindungi warga emas daripada jangkitan Covid-19.
“Sehingga 7 Feb 2022 seramai 3,335,309 (96 peratus) warga emas telah lengkap dua dos vaksinasi Covid-19 dan 2,258,521 (67.7 peratus) warga emas telah menerima dos penggalak.,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai terutama golongan berisiko seperti warga emas agar melengkapkan vaksinasi dan mendapatkan dos penggalak.

Kes baharu harian Covid-19 yang dicatatkan semalam hampir mencecah 30,000 kes iaitu 27,831 kes menjadikan jumlah kumulatif kini adalah 3,111,514 kes. – Malaysiapost

