Pengundi Johor di Singapura perlu selamatkan Malaysia – Kit Siang

0
1

SERAMAI 200,000 pengundi Johor di Singapura diminta menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac ini untuk memastikan rakyat Johor, yang mewakili rakyat Malaysia, tidak tertipu buat kali kedua.

Veteran DAP Lim Kit Siang, berkata ia penting pertamanya agar rakyat tidak tertipu dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan kedua dengan mengangkat dalang skandal 1MDB menjadi Perdana Menteri ke-10 atau ke-11

“Dalam bahagian pertama surat terbuka saya kepada 200,000 orang pengundi Johor di Singapura semalam, saya meminta mereka untuk mendaftar sebagai pengundi pos memandangkan esok, 18 Februari, adalah hari terakhir untuk pendaftarannya.

“Saya juga telah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memanjangkan tempoh pendaftaran undian pos ini untuk seminggu lagi, tetapi sama ada SPR akan bersetuju atau tidak, masih tidak diketahui lagi.

“Saya harap, akan ada berita baik daripada SPR hari ini atau esok mengenai pelanjutan tempoh pendaftaran pengundi pos ke hari Jumaat depan,” katanya dalam bahagian kedua surat terbukanya kepada 200,000 pengundi Johor di Singapura.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, sebagai langkah selamat semua pengundi berkenaan perlu melawat laman web SPR dan mendaftar untuk menjadi pengundi pos menjelang esok.

Sementara itu, beliau berkata semalam seorang pegawai MCA Johor mengatakan MCA menyasarkan untuk memenangi enam kerusi di Johor kerana pengundi tidak lagi marah dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan skandal 1MDB.

“200,000 pengundi Johor, dan juga pengundi-pengundi yang berfikiran waras dari dalam negeri, tidak mungkin akan berbangga dengan Najib dan skandal 1MDB yang digelar sebagai “kleptokrasi yang terburuk” oleh Peguam Negara Amerika Syarikat.

“Ini kerana rakyat Malaysia yang ada sekarang dan juga generasi akan datang akan terpaksa menanggung berbillion ringgit hutang 1MDB yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia,” katanya.

Kit Siang mendakwa, mana-mana rakyat Malaysia yang berfikiran waras tidak boleh berbangga dengan pengkhianatan amanah serta korupsi dan kerana itulah 200,000 pengundi Johor di Singapura perlu membuatkan undi mereka didengari dengan jelas.

“Kerana inilah 200,000 pengundi Johor di Singapura perlu mengundi sebagai pengundi pos menjelang esok dan mengundi dalam PRN Johor pada 12 Mac.

“Kita perlu lakukan segalanya dan selamatkan Malaysia daripada nasib menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here