Tak layan kluster mahkamah punca saya dijatuhkan – Muhyiddin

0
2

TAN Sri Muhyiddin Yassin mendakwa sikapnya tidak mempedulikan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin Umno menyebabkan kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terumbang-ambing lalu akhirnya tersungkur setelah 17 bulan memerintah.

Bekas Perdana Menteri itu mendedahkan ia menjadi punca beliau terpaksa meletakkan jawatan walaupun tanggungjawabnya memerangi Covid-19 yang melanda negara belum selesai.

Bercakap di pentas PN di Mersing malam tadi, Muhyiddin mendakwa beberapa pemimpin Umno mempunyai agenda tersendiri ketika menyatakan sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri kelapan.

Presiden Bersatu itu mendedahkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak telah memohon bantuannya berhubung kes mahkamah dihadapi mereka ketika mengunjunginya selepas dilantik perdana menteri.

“Beberapa hari lepas dilantik jadi Perdana Menteri, Zahid Hamidi datang ke rumah saya bawa fail bertimbun-timbun. Dia bawa fail tu, rupanya fail kes dia. Kes mahkamah dia ni.

“Dia bawa kepada saya, dia kata ini fail saya… ini fail kes saya. Saya tahulah apa kes tu. Awak nak buat apa? Tan Sri tolonglah. Saya tak buat apa-apa apa yang dituduh Tan Sri,” ucapnya.

Bagaimanapun, Muhyiddin menjelaskan, atas prinsip dipegangnya selama ini, beliau tidak mencampuri urusan mahkamah walaupun kes itu melibatkan kenalan, sahabat atau keluarga sekalipun.

“Saya kata pada Zahid, kalau kau tak buat apa yang dituduh, apa yang kau takut. Kau pergilah mahkamah. Kalau kau dibicara di mahkamah, kau tak salah maka mahkamah akan membebaskan kau. Betul?

“Tapi saya katakan sorry, saya punya pendirian dalam soal mahkamah jangan campur tangan walaupun saya Perdana Menteri ketika itu.

“Bebaskan dia, boleh saya buat begitu tuan-tuan? Tak boleh, pasal kes di mahkamah sedang dalam proses berjalan,” katanya.

Muhyiddin turut mendakwa dikunjungi Najib pada masa itu, namun menolak permintaan Ahli Parlimen Pekan itu yang mahu beliau mencampuri urusan mahkamah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here