Dakwaan guru meninggal akibat vaksin tidak benar – KKM

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menafikan maklumat berhubung kematian seorang wanita didakwa disebabkan vaksinasi yang tular di media sosial baru-baru ini.

KKM sebelum itu memuat naik penjelasan waris kepada wanita itu menerusi Facebook rasmi miliknya hari ini.

Menurut waris dikenali Mohammad Faeez Harith, dakwaan dibuat menerusi Telegram ‘Malaysia Covid post’ itu adalah palsu dan mengecam pihak terbabit yang disifatkan biadap kerana membuat tuduhan tidak berasas terhadap kematian ibunya.

“Saya selaku anak dan wakil waris mengecam sekeras-kerasnya kebiadaban kumpulan antivaksin yang membuat berita palsu tentang kematian Mama tanpa berhubung langsung dengan waris.

“Berikut penjelasan tentang fitnah mereka. Pertama, punca kematian mama tidak dikenalpasti.

“Jadi untuk pengetahuan si bahlul ini semua, punca kematian mama adalah daripada tindakbalas dengan ubat pelali (anaesthesia) yang diberikan kepada Mama sebelum prosedur intubasi dan beberapa prosedur lain pada malam kematian mama, yang akhirnya mengakibatkan kegagalan jantung,” jelasnya.

Beliau berkata, berkaitan penggunaan kerusi roda, ibunya sudah menggunakannya pada tahun 2018 kerana masalah lutut bukannya disebabkan Covid-19.

“November sudah mula pakai roda sebab sakit lutut. Woi bodoh-bodoh semua, mama aku tu sakit lutut sejak sebelum ada Covid lagi!

“Ini gambar tahun 2018, dah memang aku tolak atas kerusi roda, masa ni vaksin pun belum ada,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon KKM termasuk Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan segera terhadap kumpulan penyebar berita palsu tersebut.

Beliau juga akan membuat laporan polis ke atas pihak yang menyebarkan berita terbabit.

“Kami masih bersedih atas kematian mama tetapi dengan tanpa hati perut puak-puak ini jadikan berita kematian mama untuk sebarkan dakyah mereka,” katanya.

Penjelasan itu dibuat susulan mesej di Telegram ‘Malaysia Covid post’ itu yang mendakwa guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Sera Kuantan, Baizura Othman yang berusia 50-an meninggal dunia berpunca pengambilan vaksin Covid-19.

Justeru, itu, KKM juga berharap orang ramai tidak terus menyebarkan dan mempercayai maklumat palsu itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here