SEORANG lelaki yang dipercayai membunuh ibu tirinya dengan menetak leher mangsa hingga putus di Kampung Dalam Senduk, Jerek di Gua Musang semalam, direman tujuh hari bermula hari ini hingga 23 Februari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata suspek menyerah diri di Balai Polis Bertam sejurus kejadian itu pada jam 4.55 petang semalam, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar pembunuhan wanita sama ada akibat salah faham atau tidak berpuas hati kerana melibatkan kes keluarga.
“Tangkapan sudah dibuat semalam dan siasatan awal mendapati lelaki berusia 39 tahun itu kurang siuman, malah ketika kejadian dia juga di bawah pengaruh dadah,” katanya hari ini.
Semalam media melaporkan wanita berusia 54 tahun ditemui mati dengan leher putus dipercayai dibunuh anak tirinya menggunakan parang.
Mangsa ditemui berlumuran darah di ruang tamu rumahnya sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Malaysiapost

