TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy menjelaskan beliau tidak membangkitkan isu agama berhubung kes tiga anak kepada seorang wanita, Loh Siew Hong yang memeluk agama Islam di Perlis.
Menurutnya, apa yang dibangkitkan adalah isu penukaran agama kanak-kanak yang menyalahi undang-undang.
“Kes ibu tunggal Loh Siew Hong adalah perkara yang mudah. Ia adalah sama ada suami Nagahswaran Muniandy boleh menukar agama tiga orang anaknya yang bawah umur tanpa persetujuan ibu.
“Hakikat bahawa Nagahswaran tidak dapat mencari isterinya sebelum penukaran agama dan anak-anaknya telah rela menerima agama Islam adalah tidak berkaitan.
“Sesiapa yang ingin menukarkan agama anak bawah umur mesti mengetahui bahawa penukaran agama kanak-kanak bawah umur tanpa kehadiran ibu dan bapa adalah menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook
Beliau berkata, sama ada kanak-kanak itu dengan menerima Islam dengan rela hati atau mereka dilatih untuk berbuat sedemikian oleh pihak tertentu adalah tidak bermakna dalam kes kanak-kanak bawah umur.
“Di samping itu, pihak yang membantu dan menyokong pertemuan semula Loh dengan anak-anaknya tidak perlu dituduh sebagai pengacau yang bertujuan untuk menimbulkan ketegangan agama.
“Tuduhan sedemikian adalah biadap yang bertujuan untuk mengetepikan isu undang-undang dan sama ada kanak-kanak itu boleh ditukar agama dengan cara yang betul,” katanya.
Menurutnya, wanita terbabit telah memohon pertolongan pemimpin DAP dan beliau berkesempatan bertemu dengannya di pejabat di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
“Biar saya tegaskan di sini, saya tidak akan takut atau gentar untuk membela Loh. Mereka yang mengancam saya harus menukar fokus mereka ke perkara lain.
“Saya akan memperjuangkan keadilan bagi mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira etnik atau agama mereka. Tidak seperti sesetengah orang lain, saya bukanlah pembela berdasarkan etnik atau agama,” katanya.
Malaysiapost semalam melaporkan pemimpin-pemimpin DAP diingatkan agar tidak membangkitkan isu perkauman dan agama berhubung kes tiga anak Loh Siew Hong yang memeluk agama Islam di Perlis.
Peringatan itu dibuat oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin khususnya kepada Ramasamy yang mendakwa kes berkenaan membabitkan penculikan dan paksaan untuk memeluk Islam oleh pihak berkuasa agama Perlis. – Malaysiapost

