JAWATANKUASA Pemandu bagi Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan Had Penggal Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin penting parti dalam masa terdekat sebelum ia dibentangkan di Parlimen Mac ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pertemuan itu bagi membincangkan jawapan bagi soalan-soalan yang diajukan oleh Peguam Negara terhadap dasar-dasar RUU tersebut.
“Hampir 20 soalan yang disenaraikan dan masih ada yang belum terjawab. Ini adalah disebabkan kita perlu mengambil kira input dari setiap Ahli Parlimen yang mempunyai pelbagai pandangan dan buah fikiran.
“Ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Setiap sudut pandangan dan cadangan perlu diambil kira,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, selagi ada percanggahan mengenai RUU berkenaan, selagi itu masih belum ada kata sepakat berhubung dengan dasar itu sendiri.
“Disebabkan itu, pertemuan dengan semua pemimpin parti yang mempunyai kedudukan dalam parti masing-masing untuk membuat keputusan bersama Jawatankuasa Pemandu bagi RUU ini adalah perlu.
“Jawatankuasa kini sedang dalam proses menetapkan tarikh pertemuan untuk membuat keputusan bagi pihak parti masing-masing,” katanya.
Pada 20 Januari lalu, Wan Junaidi dilaporkan berkata kerajaan bersetuju membentang dan memuktamadkan RUU Anti Lompat Parti pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang.
Beliau berkata, keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, keputusan itu selaras saranan Perdana Menteri yang mahu pindaan RUU berkenaan disegerakan dan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 tahun 2022. – Malaysiapost

