KAPASITI penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di Johor dan Kuala Lumpur didapati telah melebihi 50 peratus susulan peningkatan mendadak kes harian positif Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengisian katil bukan ICU untuk kes Covid-19 turut melebihi 50 peratus.
“Ia membabitkan hospital di Selangor, Kelantan, Perak, Perlis, Sabah, Putrajaya, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dr Noor Hisham berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di 10 negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Johor, Kedah dan Perak juga mencatatkan penggunaan katil melebihi 50 peratus.
“Bagi Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan adalah 4.05 peratus dan 37 peratus daripada kapasiti keseluruhan ventilator jika termasuk kes bukan Covid-19,” katanya.
Terdahulu, kes baharu Covid-19 di Malaysia meningkat 5,698 kes kepada 27,831 hari ini, berbanding 22,133 jangkitan yang dilaporkan semalam.
Angka terbaharu itu adalah jumlah kes harian tertinggi pernah dicatatkan sejak wabak tersebut melanda negara lebih dua tahun lalu. – Malaysiapost

