‘Perang Twitter’ Rafizi-Noor Amin, cetus episod saling mengungkit

0
2

‘PERANG Twitter’ antara Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dengan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini hangat dengan episod ‘ungkit-mengungkit’ susulan isu calon sesuai bertanding Timbalan Presiden PKR.

Perbalahan kedua-dua pemimpin PKR itu bermula selepas Noor Amin memaklumkan, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merupakan pemimpin paling layak untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kawan-kawan ahli Parlimen ada yang pancing pandangan politik saya. Untuk tiga empat tahun ke hadapan, berdepan situasi masuk PRU-15, Saifuddin Nasution adalah sosok pertengahan yang sesuai untuk imbang pelbagai kelompok.

“Saya tahu dia keberatan tanding Timbalan Presiden. Tapi itu pandangan saya,” ciapnya.

Namun, seorang pengguna Twitter kemudian menamakan Rafizi sebagai individu paling layak untuk jawatan tersebut.

Noor Amin membalas pandangan itu dan memaklumkan tiada masalah dengan cadangan tersebut namun Rafizi sebaiknya kembali berperanan jumpa anggota parti semula dan beliau akan mengundinya jika bertanding Naib Presiden terlebih dulu.

“Tak ada masalah. Demokrasi. Saya okey . Rafizi memang seorang calon popular. Cuma apabila beliau ambil cuti selepas dilantik, saya fikir elok kembali berperanan jumpa anggota parti semula. Saya akan undi jika dia tanding Naib Presiden dulu,” katanya.

Namun Rafizi membalas Twitter itu dengan memaklumkan, beliau yang ‘menjemput’ Noor Amin dan berkempen untuknya sehingga menang di kerusi Parlimen Kangar ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Sama macam saudara jarang sangat ada di Kangar sebelum 2018 tetapi saya jemput dan kempen juga sampai menang kerusi Kangar walaupun orang Kangar pun tak kenal. Tak pula saya ungkit macam ini. Pandangan saja. Kempen di Twitter ini mudah,” balas Rafizi.

Perbualan hangat itu kemudian berakhir apabila Noor Amin berkata, beliau tidak mengungkit tetapi sekadar saranan.

“Apa yang saya sebut bukan ungkit tapi saranan. Tak bersifat menghalang malah beri komitmen untuk sokong jika bertanding Naib Presiden. Alhamdulillah terima kasih kepada saudara ( Rafizi), Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan lain-lain yang berkempen di Kangar. Semua ada sumbangan. Tak pernah saya nafi dan dakwa semuanya kerja buat saya,” katanya.

Baru-baru ini Rafizi yang pernah digelar ‘pakar formula’ berkata beliau akan melakukan solat istikarah susulan terdapat desakan agar beliau kembali ke pentas politik.

Beberapa penyokong PKR sebelum itu mendesak beliau kembali aktif dalam parti selepas lama menyepi daripada arena politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here