PELAKON Datuk Aaron Aziz, 46, mendedahkan dia mempunyai tumor yang memerlukan pembedahan segera kerana ketumbuhan itu semakin membesar.
Bintang drama Gerak Khas Undercover itu berkongsi mengenai penyakitnya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Menurut anak jati kelahiran Singapura itu, dia menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI) selama 90 minit bagi mengesan perkembangan penyakitnya.
“90 minit dalam benda ni. Doktor cakap saya perlu menjalani pembedahan segera. Selain perlu mengambil cuti sakit selama dua bulan,” katanya dalam hantaran itu.

Bagaimanapun, Aaron berkata, dia tidak boleh menjalani rawatan itu sekarang kerana mempunyai banyak kerja yang masih belum selesai.
“Tapi tak boleh (jalani pembedahan) Sebab banyak ‘ongoing project’ sekarang.
“Jadi buat masa ini saya hanya ambil ubat untuk tahan sakit,” katanya.
Menurut Aaron lagi, dia terpaksa berkerja dalam kesakitan ketika ini dan menjelaskan hanya Allah SWT sahaja yang tahu penderitaan yang terpaksa ditanggung.
“‘Working in pain’, hanya Allah tahu apa yang saya rasa. Korang tengok Abang senyum sana ketawa sini tapi korang tak nampak bila hati Abang menangis kesakitan… Tumor mangkin besar kata Doc,” katanya.
Sebelum ini, Aaron pernah mendedahkan dia mengalami masalah saraf tersepit pada bahagian lehernya sejak lapan tahun lalu hingga terpaksa keluar masuk hospital.
Kali pertama Aaron berhadapan penyakit ini pada 2012 iaitu sebelum menjalani penggambaran program realiti sukan lasak, Fear Factor Malaysia.
Begitupun, dia membuat keputusan tidak menjalani pembedahan seperti disarankan doktor.
Malah, Aaron berkongsi dia kini bergantung dengan ubat-ubatan akibat penyakit saraf dihidapinya, namun masih lagi boleh aktif dalam kerjaya lakonan. – Malaysiapost

