Tak guna tukar gelaran Ketua Menteri, jika hidup rakyat tidak jadi baik

0
2
KUALA LUMPUR, 14 Mei -- Ketua Media dan Komunikasi bagi Majlis Penasihat Kerajaan Datuk A Kadir Jasin pada sidang media selepas mesyuarat tertutup Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

WARTAWAN veteran Datuk A Kadir Jasin menyindir tindakan kerajaan Sarawak menukar gelaran Ketua Menteri kepada Premier kerana didakwa mahu bunyinya seakan-akan Perdana Menteri.

Menurutnya, Sarawak mahu pun Sabah sedang bersungguh-sungguh memiliki kelainan daripada Semenanjung atas alasan autonomi.

“Tapi setakat tukar gelaran Chief Minister jadi Premier kerana nak bunyi seakan-akan Prime Minister pun tak guna juga kalau benda-benda lain yang bersangkut-paut dengan kehidupan rakyat jelata tidak bertambah baik.

“Sarawak dan Sabah sekarang tengah beria-ia hendak berlainan daripada Semenanjung atas alasan autonomi. Kita sedar dan sikit sebanyak, kita faham aspirasi mereka,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mengulas nama gelaran ketua kerajaan, Kadir menjelaskan, dalam sebuah negara Persekutuan seperti Malaysia, Australia dan Kanada, ketua kerajaan Pusat digelar Perdana Menteri.

“Dalam bahasa Inggeris, Prime Minister. Di Malaysia, ketua kerajaan negeri-negeri Melayu dipanggil Menteri Besar. Tidak ada gelaran dalam bahasa Inggeris. Ketua kerajaan Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka), Sarawak dan Sabah digelar Ketua Menteri atau dalam bahasa Inggeris, Chief Minister.

“Malah ada juga orang yang kata, gelaran Perdana Menteri itu pun tidak berapa tepat. Mereka kata, Menteri Perdana lebih tepat,” katanya.

Kadir menjelaskan, selepas ini kemungkinan terdapat negeri lain mengikuti jejak Sarawak untuk menukar nama Ketua Menteri.

“Sekarang Sarawak nak “stylised”kan Ketua Menteri/Chief Minister menjadi Premier. Tapi Premier itu bahasa Inggeris. Adakah dalam bahasa Melayu pun mereka hendak guna Premier juga?

“Di Malaysia ni banyak orang suka nama orang Putih dan Arab. Tak faham kepala ekor tak apa asalkan nampak bergaya.

“Lepas ini janganlah hairan kalau negeri-negeri lain pun nak tiru Sarawak dengan menukar gelaran Menteri Besar dan Ketua Menteri mereka. Inilah jadinya apabila Kerajaan Pusat lemah dan Perdana Menteri tidak dihormati. Negeri-negeri pun naik tocang,” katanya.

Semalam, cadangan penukaran nama jawatan Ketua Menteri kepada ‘Premier’ mencetus perbahasan pada hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Istilah ‘Premier’ itu dicadangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here