
PEMIMPIN-pemimpin DAP diingatkan agar tidak membangkitkan isu perkauman dan agama berhubung kes tiga anak Loh Siew Hong yang memeluk agama Islam di Perlis.
Peringatan itu dibuat oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin khususnya kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang mendakwa kes berkenaan membabitkan penculikan dan paksaan untuk memeluk Islam oleh pihak berkuasa agama Perlis.
Menjelaskan mengenai kes berkenaan, beliau berkata pada Julai 2020 seorang lelaki beragama Hindu datang ke Perlis bersama tiga anaknya untuk memeluk agama Islam.
“Memang ketiga-tiga anaknya itu bawah umur tetapi selepas ditanya mana ibu mereka dan diberitahu tidak tahu keberadaannya dan lelaki terbabit minta dia serta anaknya masuk Islam
“Bahagian pendaftaran mualaf daftarkan mereka sebagai orang Islam dan bukan daftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya dalam satu siaran langsung di laman Facebook Dr MAZA.com, hari ini.
Beliau berkata, selepas memeluk Islam lelaki terbabit menyerahkan anak-anaknya kepada sebuah pusat pengajian Islam dan beberapa bulan kemudian lelaki itu masuk penjara kerana kes dadah.
“Ibu kanak-kanak terbabit difahamkan mendapat perintah mahkamah bagi penjagaan tiga beradik berkenaan pada 2021 dan datang ke Perlis.
“Bila datang kita (pihak berkuasa agama) yang tidak mengetahui mengenai perintah mahkamah bertindak jaga kanak-kanak terbabit, pelihara jangan bagi orang ambil. Tiba-tiba ada ahli politik DAP dakwa kononnya tiga beradik itu diculik dan dibawa lari,” katanya.
Mohd Asri mendakwa Ramasamy memainkan api perkauman seperti yang sering dibangkitkan pemimpin DAP itu termasuk isu-isu seperti Zakir Naik.
“Saya sebutkan beberapa kali kepada kerajaan bahawa individu Ramasamy ini adalah individu yang kita amat bimbang kewujudannya dalam negara ini.
“Termasuk beberapa tokoh-tokoh DAP lain yang kita tahu masa zaman mereka berkuasa sebelum ini bukan main ‘sakan’ mereka.
“Dia (Ramasamy) bangkitkan padahal kalau dia mahu boleh semak dan hubungi. Tapi mereka buat tuduhan dan bangkitkan isu perkauman serta agama. Kononnya culik..perkataan culik dia guna..macam seolah-olah paksa masuk Islam,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan Ramasamy memang menyakitkan hati bagi satu masyarakat yang harmoni kerana cara, bahasa, percakapan dan sikapnya sentiasa menunjukkan permusuhan dengan masyarakat Islam.
“Kumpulan ini pelampau..banyak cara penyelesaian yang baik boleh dibuat dan mereka boleh sahaja hubungi saya kerana kenal dengan saya untuk minta maklumat mengenai perkara berkenaan sebelum nak dakwa culik atau paksa
“Saya bukan kempen untuk pilihan raya tetapi pihak DAP hati-hati dengan isu yang dibangkitkan..jangan main api perkauman yang akhirnya semua orang akan menyesali apa yang mereka buat,” tegasnya. – Malaysiapost
