BULETIN TV3 menafikan perkongsian yang kini tular mengenai ‘Tiada Booster, Tiada Bazar, Tiada Berhari Raya’, kononnya ada kaitan dengan laporan berita di Buletin Utama.
Buletin TV3 menerusi Facebook rasmi miliknya memaklumkan bahawa terdapat satu hantaran disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menulis tajuk tersebut.
Buletin TV3 berkata, perkara itu tidak seperti yang dilaporkan dalam laporan berita berkenaan.
“Laporan asal berita adalah berkaitan semua bentuk kegiatan ekonomi rakyat termasuk bazar Ramadan akan terus beroperasi tanpa sebarang sekatan selepas ini.
“Jaminan diberi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan sedang diperhalusi untuk ditambah baik dan akan diumumkan kelak,” jelasnya.
Sehubungan itu, Buletin TV3 menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan sentiasa mendapatkan maklumat yang sahih serta menyemak sebarang maklumat yang diterima. – Malaysiapost

