PRN Johor tiada kaitan kluster mahkamah, musuh tandus modal politik – Noh

0
1

TAKTIK berterusan pihak lawan mencipta naratif Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk ‘menyelamatkan’ kluster mahkamah mengundang rasa kurang senang Tan Sri Noh Omar.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu menyifatkan musuh-musuh Umno dan Barisan Nasional (BN) seolah-olah ketandusan modal politik lalu menerapkan naratif PRN Johor mempunyai kaitan dengan kluster mahkamah.

“Tanpa hilang rasa hormat saya kepada Tun Mahathir (Mohamad) dan TS Muhyiddin Yassin saya tidak bersetuju dengan cara mereka menggunakan taktik menyerang kluster mahkamah menjelang PRN Johor.

“Apa kaitan kluster mahkamah dengan PRN Johor? Kes mahkamah yang melibatkan pemimpin Umno masih berjalan dan tiada satu kes pun ditutup, walaupun jawatan Perdana Menteri daripada Umno.

“Dah tak ada modal? Nak kata kluster mahkamah, kes ini masih berjalan dan tidak ada campur tangan politik. Adakah kerana takut dengan populariti Bossku yang mampu menarik undi kepada Umno dan BN?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu dengan tegas menolak dakwaan PRN Johor mempunyai kaitan dengan “kluster mahkamah”.

“Bagi saya tiada kena-mengena. Sebab kita lihat keadaan di Johor itu lebih satu kerusi saja. Itu saja. Tiada kaitan dengan kluster mahkamah.

“Kalau kata kluster mahkamah gunakan politik untuk kepentingan diri, saya ingat ini fitnah dan tuduhan bagi orang yang tiada modal untuk berpolitik,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam surat terbukanya kepada pengundi Johor, sekali lagi menekankan PRN ini adalah rencana kluster mahkamah yang berusaha membebaskan mereka daripada kes mahkamah.

Menurut Dr Mahathir, sekiranya menang, PRN Johor adalah momentum Umno dan BN untuk menawan Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendakwa, satu-satunya cara untuk menghalang “kluster mahkamah” daripada kembali berkuasa ialah mengalahkan BN pada PRN Johor.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor berkata, Muhyiddin tiada hak menghalang mana-mana pemimpin Umno turun berkempen di Johor, melainkan Bersatu sendiri takut dengan bayang-bayang pemimpin Umno, khususnya Datuk Seri Najib Razak.

“Kalau kata Najib atau (Presiden Umno Ahmad) Zahid (Hamidi) nak turun berkempen apa salahnya? Semua orang boleh turun berkempen…ke sebab mereka takut, sebab kalau Najib turun di Melaka dulu, lebih tinggi orang nak sokong Umno,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here