‘PM8 langgar SOP, tak pula disuruh letak jawatan’ – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

DATUK Seri Najib Razak membidas tindakan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung desakan meminta Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletakkan jawatan.

Najib berkata, adalah melucukan apabila ‘page’ pro parti itu menyerang Ismail Sabri susulan keengganan Perdana Menteri memecat Hishammuddin berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurut Najib, bekas Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah melanggar SOP dengan tidak memakai pelitup muka di sebuah lobi hotel yang dihadiri ramai orang tahun lalu, namun tiada desakan meminta Ahli Parlimen Pagoh itu meletak jawatan.

“Lucu amat apabila saya lihat serangan page-page PN terhadap PM9 yang tolak seruan untuk pecat Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein setelah Hisham dikompaun oleh kerajaan setelah didapati melanggar SOP Covid.

“PM9 nak pecat Hisham ke tidak, Hisham nak letak jawatan ke tidak, itu hak mereka masing-masing tapi sekurang-kurangnya kompaun memang telah dikeluarkan dan telah dibayar.

“Namun pada awal tahun lepas, PM8 korang pun didapati melanggar SOP Covid setelah dia beria-ria jalan dalam lobi hotel tanpa memakai face mask bersama puluhan orang,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Najib, kesalahan itu dilakukan Muhyiddin ketika dalam tempoh Darurat diisytiharkan yang kononnya bagi menyekat penularan wabak bahaya Covid-19.

“Ketika itu, darurat dilaksanakan pulak untuk gantung parlimen dengan alasan-alasan diberi kerajaan PN bahawa Covid sangat berbahaya dan terlalu ramai orang tua dalam Dewan Rakyat (biarpun niat utama ialah halang parlimen bersidang dan dia ditumbangkan).

“Walaupun bukti video terlalu jelas (HD, ya sebab dirakam oleh media), kerajaan PN tak pulak saman atau kompaun PM8 masa itu.

“Dan tiada seorang pun dari PN pernah suruh PM8 letak jawatan sebab langgar undang-undang sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan Twitternya mengarahkan pegawai kementeriannya agar mengeluarkan kompaun terhadap tiga pimpinan Barisan Nasional (BN) yang hadir ke pelancaran Briged MIC Johor pada Ahad kerana melanggar SOP.

Jelasnya, kompaun itu akan dikenakan terhadap Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Majlis Pelancaran Briged MIC Negeri Johor diadakan di Stadium Tertutup Educity, Iskandar Puteri, pada kira-kira jam 5 petang , Ahad lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here