JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan melaksanakan pengujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) di dua kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, esok.
MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pengujian itu akan dijalankan selama satu jam di kawasan terbabit.
“Di Masjid Al Muttakin, Kg Kerupang, Labuan bermula jam 9.20 pagi hingga 10.30 pagi dan di Masjid Al Muzakirullah, Kg Lubuk Temiang, WP Labuan bermula 11.20 pagi hingga 12.30 tengah hari,” katanya.
Sehubungan itu, MetMalaysia menasihati penduduk di kawasan sekitar agar tidak panik dengan bunyi siren tersebut kerana ia merupakan suatu ujian sahaja.
“Bagaimanapun, METMalaysia akan memaklumkan jika terdapat sebarang pindaan,” katanya. – Malaysiapost

