Muhammad Mustakim Ramli
PEMUDA Umno menafikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan parti itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ketetapan kepimpinan tertinggi parti dalam Majlis Tertinggi adalah jelas.
“Presiden tidak sesekali mengatakan bahawa Umno-BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Keputusan dan ketetapan kepimpinan tertinggi parti dalam Majlis Tertinggi yang dipengerusikan Presiden sendiri jelas iaitu tolak DAP dan tolak Anwar.
“Selain itu, apa jua keputusan Ahli Parlimen secara en-bloc dan sepakat secara kolektif; perkasa dan perkukuh kerjasama Muafakat Nasional,” katanya menerusi Facebook.
Asyraf berkata, Umno juga akan menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Sokong Kerajaan PN sehingga PRU-15, namun tidak sertai sebagai salah satu parti komponen jika PN didaftarkan sebagai parti,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid berkata, Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Presiden PKR yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Ini kerana, kata Ahmad Zahid, Umno dan BN bukan parti komponen PN.
Kenyataan itu susulan pengumuman Anwar yang mendakwa memiliki sokongan kukuh dan menyakinkan daripada majoriti Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan menggantikan kerajaan PN. – Malaysiapost

