Suarez sah ke Atletico Madrid

0
2

ATLETICO Madrid menandatangani penyerang Barcelona, Luis Suarez, sekali gus mengesahkan pemain antarabangsa Uruguay itu tidak menyertai Juventus.

AFP melaporkan Atletico setuju membayar €6 juta (RM28.84 juta) untuk mendapatkan Suarez, yang meninggalkan sesi latihan terakhir dengan linangan air mata semalam selepas diberitahu tidak lagi diperlukan jurulatih baru Barca, Ronald Koeman.

Sejak menyertai Barcelona dari Liverpool pada 2014, Suarez memenangi beberapa trofi termasuk Liga Juara-Juara pada 2015 dan empat kejuaraan La Liga.

Dia meninggalkan pasukan dengan reputasi penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman iaitu 198 gol, di belakang Cesar Rodriguez (232) dan Lionel Messi (634).

Dilaporkan, dia berhijrah ke musuh Barcelona dalam La Liga disebabkan gagal untuk menyertai Juventus.

Jurulatih Juve, Andrea Pirlo mendedahkan minggu lalu mereka tidak mampu untuk mendapatkan Suarez berikutan kelewatan pemain itu mendapatkan pasport Itali.

Ketiadaan pemain berusia 33 tahun itu hadir selepas Koeman berusaha untuk membentuk semula Barcelona.

Selain Suarez, pengendali kelahiran Belanda itu menunjukkan pintu keluar buat Arturo Vidal dan Ivan Rakitic, manakala pertahanan Perancis, Samuel Umtiti dijangka berbuat demikian.

Televisyen Sepanyol, Gol menunjukkan Suarez mengelap air mata dengan lengan bajunya selepas mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya di pusat latihan Sant Joan Despi. – Malaysiapost