PRN Sabah: Penyokong PBS tolak calon PN-Star

0
1

PENYOKONG Parti Bersatu Sabah (PBS) di Tambunan dikatakan menolak untuk memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Ia selepas PBS dilaporkan bersetuju menghentikan kempen calonnya di kerusi berkenaan, kelmarin.

Difahamkan, jentera dan penyokong PBS tidak dibawa berbincang mengenai kompromi antara kedua-dua parti, menyebabkan ramai kecewa selepas dimaklumkan mereka tidak lagi boleh meneruskan kempen untuk calon PBS.

Penyokong terbabit menjelaskan tindakan berkenaan tidak wajar kerana mereka berkempen sejak hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sebelum diminta dihentikan ketika hari mengundi semakin hampir.

Menurut sumber, kekecewaan itu menyebabkan jentera parti itu di Tambunan membuat keputusan untuk menyokong calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Leurentius Nayan Ambu yang mewakili Warisan Plus.

“Ia sebagai tanda tidak berpuas hati terhadap tindakan kepemimpinan parti untuk berkompromi dengan Star seperti dilaporkan sebelum ini,” jelas sumber berkenaan.

Kelmarin, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan PBS dan Star mencapai persetujuan memastikan hanya calon PN-Star diberikan sokongan di Tambunan dan Bingkor bagi memastikan kemenangan besar PN di kedua-dua kerusi.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim, ketika mengulas mengenai persetujuan itu berkata pihaknya bersetuju menghentikan kempen dan pemasangan bahan-bahan kempen untuk calon parti itu di kedua-dua kawasan.

Berikutan itu, katanya, PBS Tambunan yang diketuai calonnya, Silverius Bruno akan membantu kempen PN-Star  di kerusi berkenaan, begitu juga di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor.

Sebagai ganti atas persetujuan PBS itu, Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga calon PN-Star Tambunan, memaklumkan pihaknya akan membantu PBS berkempen untuk calonnya di kerusi DUN Api-Api dan Bengkoka.

Beliau turut mengarahkan calon Bebas mesra PN-Star di kedua-dua kerusi untuk menghentikan kempen masing-masing dan mengalihkan sokongan kepada calon PBS.

Kerusi DUN Tambunan dan Bingkor adalah antara 17 kerusi ditandingi PBS yang menyaksikan parti itu bertembung dengan calon sepasukan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN kali ini. – Malaysiapost