PRN Sabah: Hapuskan budaya lompat parti – Anifah

0
1

PARTI Cinta Sabah (PCS) menegaskan perlunya menghapuskan budaya lompat parti bagi mengelak ketidakstabilan politik dan kerajaan seperti berlaku dalam kerajaan Persekutuan hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan, menjelaskan sebab itulah PCS memperkenalkan Recall Petition’ sebagai salah satu akujanji utama dalam manifesto parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya, ia langkah untuk menghentikan budaya melompat parti yang disifatkannya sebagai budaya politik menjengkelkan.

“Hari ini rakyat Malaysia sekali lagi dijamu dengan drama perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin. Macam drama petang waktu Maghrib, kalah siri telenovela.

“Baru saja semalam saya tulis mengenai Recall Petition’ iaitu Akujanji PCS untuk menghapuskan budaya melompat parti, tengok-tengok hari ini ada saja lagi isu yang timbul berhubung perkara ini,” katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam yang mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Anifah yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, berkata budaya politik seumpama itu perlu dihentikan kerana ia bukan saja menyebabkan ketidakstabilan politik dan kerajaan, malah meletihkan rakyat.

“Saya ingin tanya tuan-tuan dan puan-puan semua, tak letihkah dengan perkara ini?

“Cuba lihat di sekeliling kita, apa sebenarnya yang berlaku? Apa sebenarnya yang rakyat hadapi? Ekonomi merudum, rakyat tiada pekerjaan, orang susah memikirkan apalah nasib mereka dari hari ke hari.

“Tapi yang diberi kepercayaan untuk memimpin, asyik main kerusi berirama, berebut kuasa sesama mereka,” katanya.

Tegasnya, kemelut di Sabah juga berlaku disebabkan perkara itu dan yang menjadi mangsa ialah rakyat.

Katanya, hakikatnya pertumbuhan Sabah terbantut sejak Warisan berkuasa dengan pertumbuhan ekonomi menjunam daripada 8.2 peratus pada 2017 ke 0.5 peratus pada tahun lalu menyebabkan lebih 100,000 anak Sabah menganggur.

Beliau menegaskan, PCS tidak mahu lagi perebutan kuasa yang menyebabkan Sabah terumbang-ambing, pembangunannya tergendala dan rakyat menderita.

“Sebab itu jugalah kami meletakkan calon tiada `political baggage’, tiada sejarah melompat parti yang betul-betul berjuang untuk Sabah dan rakyat.

“Kita nak menghapuskan budaya politk melompat parti yang menjengkelkan ini. Bila PCS kata nak bawa perubahan, bermakna kita betul-betul nak bawa perubahan, bukan setakat kata-kata kosong saja.

“Rakyat Sabah, saya tahu anda sudah letih dengan perkara ini, saya tahu anda nak perubahan. Inilah peluang kita untuk tunjukkan bahawa sudahlah, cukuplah, usah lagi melompat ke sana sini, bermain-main dengan masa depan rakyat hanya kerana tamakkan kuasa,” katanya.

Berikutan itu, katanya rakyat perlu menggunakan kuasa untuk membuat pilihan menghentikan budaya melompat parti dengan memilih calon PCS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini. – Malaysiapost