TULAR sebuah video memaparkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ‘terlepas cakap’ nama tokoh korporat, Datuk Seri Kalimullah Hassan yang didakwa mempunyai kaitan atau menjadi penaja kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Dalam video itu, ahli Parlimen Muar terbabit menyebut nama Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ECM Libra Group yang dikatakan menyumbangkan 400 tablet untuk diagihkan di kawasan diwakilinya itu.
Bagaimanapun selepas menyedari dirinya terlepas sebut nama bekas wartawan itu, Presiden MUDA itu kelihatan menutup mulutnya menggunakan tangan seolah-olah menyesali kesilapannya sebelum membetulkan semula ayatnya.
“Saya mendapat 400 tablet dan ia sungguh menakjubkan dari Tan Sri Kalimullah…err (sambil menutup mulutnya) dari ECM Libra (syarikat dimiliki Kalimullah),” katanya dalam video ditularkan di media sosial oleh pelbagai pihak termasuk Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM).
Sebelum ini ada pihak mempertikaikan dana diperoleh MUDA yang dikatakan membuat helah dengan membuat ‘crowd funding; bagi mencari dana bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ini kerana parti itu dikatakan mendapat bantuan kewangan daripada penaja tertentu termasuk di kalangan taikun.
Tambah menguatkan spekulasi itu apabila kempen mereka turut disertai seorang anak taikun terkemuka, Dian Lee. – Malaysiapost

