GERAKAN Rasuah Busters menyeru golongan muda termasuk pelajar memanfaatkan Undi 18 yang memberi kuasa kepada mereka untuk menolak kepimpinan toksik serta rasuah yang boleh memusnahkan negara.
Gerakan disertai 92 pertubuhan itu menegaskan golongan muda adalah akar yang akan membawa karakter lebih kompetitif, progresif, inovatif dengan semaian akhlak, nilai dan maruah yang tinggi bagi memacu transformasi Negara.
Sehubungan itu, jelasnya rakyat Malaysia menjadi sistem sokongan agar anak muda diberi peranan dalam mencorak model Malaysia yang lebih stabil daripada aspek politik, ekonomi serta sosial.
“Undi 18 yang meletakkan kuasa mengundi kepada golongan muda termasuk para pelajar wajar dijadikan peluang untuk menolak kepimpinan toksik dan rasuah daripada terus memusnahkan masa depan mereka.
“Sebaliknya golongan mudalah yang harus tampil sebagai barisan hadapan kepimpinan di dalam proses pembikinan polisi serta penggubalan undang-undang dalam mengemudi pentadbiran untuk mencorak masa hadapan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jelasnya, golongan muda juga harus berani tampil dalam proses kesedaran hak bagi menjamin kualiti pendidikan, kesihatan, alam sekitar serta jaminan peluang pekerjaan bagi kemampanan ekonomi dan sosial.
“Anak muda bangkit bukan retorik. Ia adalah jaringan ekosistem yang amat signifikan,” katanya – Malaysiapost

